Pelajar sekolah sukan maut, keluarga dakwa dipukul di asrama

Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meninggal dunia semalam, dengan keluarganya mendakwa mangsa dipukul.
Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian itu dan berkata kes masih dalam siasatan, lapor Sinar Harian.
“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban,” katanya.
Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa pelajar berkenaan dipukul ketika berada di asrama sekolah berkenaan.
Seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara mangsa turut berkata keluarganya dimaklumkan mengenai kematian itu selepas ibu mangsa menghubunginya.
Wanita berkenaan turut mendakwa seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa mangsa dipukul serta mengenai penahanan seorang pelajar belum disahkan polis.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.