Keputusan mendormankan LGMPC disebabkan prestasi sejak 2018, kata menteri

Keputusan untuk mendormankan LGM Properties Corporation (LGMPC) adalah disebabkan prestasi sejak 2018, dan perubahan model perniagaan jangka masa panjang, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad.
“Semua kakitangan LGMPC telah ditawarkan dan menerima skim pemisahan bersama (MSS) tanpa ada serapan ke Lembaga Getah Malaysia (LGM),” katanya di Dewan Rakyat, ketika perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi.
LGMPC adalah anak syarikat LGM yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.
Noraini memaklumkan perkembangan ini susulan pertanyaan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai justifikasi di sebalik keputusan mendormankan operasi LGMPC dan nasib kakitangannya, antara lain.
Noraini berkata kajian mengenai prestasi LGMPC dibuat pada 2020 melalui beberapa jawatankuasa di peringkat LGM.
“Kos operasi tahunan LGMPC dianggarkan RM30 hingga RM40 juta. Berdasarkan kos operasi, didapati bahawa model perniagaan semasa LGMPC ini tidak berdaya maju,” katanya.
Noraini berkata LGM melantik pengurusan hartanah komersial untuk mengambil alih pengurusan hartanah, manakala pengurusan ladang pula diambil oleh LGM.
“Aset LGMPC telah dipindahkan ke LGM, dan LGM telah melaksanakan audit fizikal bermula Januari hingga Julai 2026 sebelum proses dormant dijalankan,” katanya, dan menambah LGM juga telah membangunankan sistem pemantauan inventori aset.
Terdahulu, Willie mencadangkan LGM melaksanakan audit aset secara menyeluruh, membangunkan sistem inventori digital dan menetapkan petunjuk prestasi utama bagi meningkatkan hasil sewaan, mengurangkan kos penyelenggaran dan mengoptimumkan penggunaan hartanah susulan keputusan mengenai LGMPC.
Willie berkata terdapat kebimbangan mengenai keadaan beberapa hartanah LGM yang kelihatan kurang diselenggara dan semakin usang.
“Saya ingin menegaskan bahawa aset kerajaan bukan sekadar untuk disimpan, tetapi mesti diurus secara profesional supaya mampu menjana pulangan ekonomi kepada negara,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.