Rakyat mahu tahu bila jalan nak dibina, kata Wee

Rakyat ingin tahu bila projek jalan luar bandar akan siap, mengapa projek tertangguh, dan mengapa kontraktor masih menunggu bayaran, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.
Wee berkata kerajaan patut membentangkan peruntukan sebenar serta perbelanjaan sebenar. Kerajaan juga harus menunjukkan kemajuan projek-projek itu termasuk kilometer jalan siap, serta berapa bayaran yang masih tertunggak.
“Angka peruntukan yang lebih besar tidak menjawab persoalan mengapa projek tertangguh dan kontraktor belum dibayar,” katanya di Facebook, mengulas angka yang dinyatakan oleh Tengku Zafrul Aziz, penasihat kanan politik kepada perdana menteri.
Wee berkata Ahli-ahli Parlimen di Sabah melaporkan pembatalan proses tender bagi 40 projek bernilai RM5.14 bilion, selain penangguhan surat setuju terima bagi projek-projek bernilai RM8.096 bilion.
Beliau menggesa kerajaan menjawab dakwaan itu dengan senarai status projek dan tarikh pelaksanaan yang jelas.
“Tidak kira guna istilah tangguh ke, batal ke, bagi penduduk kampung persoalannya mudah: bila jalan mereka akan dibina,” katanya.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul dilapor berkata perbelanjaan jalan raya luar bandar diperuntukkan RM3.7 bilion untuk 2018 hingga 2022, manakala 2023 hingga 2027 disalurkan sebanyak RM11 bilion.
Kenyataan Zafrul itu menyusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, pada Rabu, bahawa dakwaan kerajaan membatalkan atau memotong peruntukan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak adalah tidak benar.
Mustapha berkata penangguhan pengeluaran surat setuju terima baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.