Zahid minta KPT pertimbang tiket penerbangan percuma untuk pelajar B40

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelaraskan dengan universiti bagi mempertimbang penyediaan tiket penerbangan percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 yang menuntut di luar wilayah asal mereka.
Beliau yang juga presiden Umno berkata perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir untuk pertimbangan.
“…dan saya telah mengarahkan semua menteri besar (daripada Umno) seperti Johor, Negeri Sembilan, ketua menteri Melaka, Pahang dan Perak untuk mengeluarkan tiket percuma kepada pelajar B40 dari negeri berkenaan yang belajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Semalam, perwakilan Umno Sabah Azuwan Marjan@Norjan membangkitkan isu harga tiket penerbangan yang tinggi sehingga membebankan pelajar B40 dari Sabah dan Sarawak.
PAU 2026 melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama empat hari.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.