Sudahkah Umno faham mengapa rakyat rampas kuasanya, soal penganalisis

Umno perlu menunjukkan ia memahami mengapa rakyat merampas kuasanya pada pilihan raya lalu sekiranya mahu dilihat sebagai ‘kerajaan peneraju’ selepas PRU16, di sebalik retorik ‘kerajaan menanti’ pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.
Penganalisis mempersoalkan apakah yang telah Umno pamerkan kepada rakyat dari segi kesedaran dan ekonomi, selain mesin politik dan pengalaman pentadbiran yang sukar ditandingi.
“Sebahagian pimpinan Umno nampaknya masih bercakap seolah-olah rakyat sedang menunggu mereka kembali. Sedangkan sebahagian rakyat mungkin sedang menunggu untuk melihat apa yang benar-benar berubah,” kata Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Penganalisis di Global Asia Consulting itu berkata PRU14 sepatutnya menjadi kejutan paling besar dalam sejarah Umno moden. “Untuk mendapatkan semula keyakinan, mengatakan ‘kami sudah belajar’ tidak mencukupi.”

“Belajar daripada apa? Daripada isu integriti? Daripada pengurusan GLC? Daripada episod Felda? Daripada kontroversi Tabung Haji? Daripada politik ‘patronage’? Daripada kegagalan membaca perubahan generasi pengundi?” soalnya.
Zaharudin berkata rakyat perlu nampak bahawa Umno sudah belajar daripada kehilangan kuasa.
“Contohnya, bagaimana Umno mahu memastikan GLC tidak menjadi tempat pembahagian jawatan politik? Bagaimana keputusan ekonomi akan dibuat berdasarkan merit dan bukan hubungan? Bagaimana parti akan menangani konflik kepentingan? Bagaimana pemimpin akan dipertanggungjawabkan apabila berlaku kegagalan?
“Begitu juga ekonomi. Kalau Umno mahu kembali memimpin, tawaran ekonominya mesti lebih meyakinkan daripada sekadar bantuan, subsidi atau janji,” katanya.
Zaharudin berkata Umno tidak boleh membina semula dirinya hanya dengan mengatakan ‘Melayu memerlukan Umno’, mengatakan keputusan PRU14 dan PRU15, serta kebangkitan PAS, menunjukkan hujah itu sudah tidak cukup kuat.
“Soalannya sekarang bukan ‘perlukah Melayu kepada Umno?’. Soalannya ialah: mengapa Melayu dan rakyat Malaysia patut memilih Umno sekali lagi?”
“Jawapannya mesti datang daripada prestasi, integriti dan kemampuan mentadbir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata Umno boleh menjadi pilihan realistik menjelang PRU16 jika mampu menggabungkan pengalaman memerintah dengan pembaharuan, generasi kepimpinan baharu, dan dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.
Selain membuktikan bahawa ia mempunyai pasukan, dasar dan keupayaan pentadbiran yang lebih meyakinkan, Umno juga perlu menunjukkan ia telah belajar daripada pengalaman pentadbiran terdahulu.

“Isu-isu yang pernah menjejaskan keyakinan rakyat, termasuk berkaitan tadbir urus institusi seperti Felda dan Tabung Haji, perlu dijawab dengan komitmen lebih kuat terhadap ketelusan, akauntabiliti dan pembaharuan institusi,” kata Awang Azman Awang Pawi.
“Mengakui kelemahan bukan bererti melemahkan Umno, sebaliknya menunjukkan kematangan sebuah parti yang bersedia memerintah semula dengan lebih baik,” kata penganalisis di Universiti Malaya ini.
Pada PAU 2026 yang berakhir semalam, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, merumuskan ucapan dasar Presiden Zahid Hamidi seabgai ucapan seorang ‘perdana menteri menanti’ dan ucapan sebuah ‘kerajaan menanti’.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.