Bollywood HungamaAhaan Panday’s Beparwah co-star, Aaishvary Thackeray, loses Rs. 19,000 to cyber fraud; files police complaintThe Jerusalem PostSanctioned Russian Defense Ministry jet lands in Israel after departing Moscow military baseInquirerAmihan to bring cooler weather to much of Luzon on Nov. 9PunchMeet Busari, coach behind Flamingos’ historic World Cup triumphCNN TürkMısır’da tren faciası! Çok sayıda ölü ve yaralı한겨레‘추경호 계엄 해제 방해’ 손해배상 1심 패소…“의도 입증 부족”ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFCapital FMKenya condoles with Poland after Krakow shooting kills six, injures 16VarietyCannes Prize-Winning ‘Brink of Dreams’ Director Ayman El Amir Preps Dark Comedy About Egypt’s Obsession With ‘Fame at All Costs’ (EXCLUSIVE)Daily MailAs his father the King, and brother William, lead the nation's remembrance at the Cenotaph, Harry pays his own respects... 70 miles apart from his family in a quiet market town...Rai NewsMattina 24 - Puntata del 09/11/2026South China Morning PostJapan targets viral ‘Shorinji racing’ social media pranks harassing police
The Daily Newsstand · Free, Always
Monday, November 9, 2026

Kunavathi sebar keceriaan setiap Deepavali meski hilang penglihatan

Translate

Suasana pagi Ahad di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di Butterworth, Pulau Pinang, cukup meriah dengan suara sukarelawan dan aroma kuih-muih tradisional Deepavali yang baru disediakan.

Kira-kira 60 sukarelawan sibuk menyiapkan juadah istimewa bagi membawa sedikit kegembiraan kepada golongan yang mungkin tidak berpeluang meraikan perayaan itu seperti orang lain.

Program yang sudah menjadi tradisi sejak bertahun-tahun itu amat dekat di hati K Kunavathi, 56.

Walaupun kehilangan penglihatan sejak berusia 12 tahun akibat penyakit keturunan, keadaan itu tidak pernah menghalangnya daripada turut serta dalam aktiviti berkenaan.

Sejak 10 tahun lalu, Kunavathi antara sukarelawan yang tidak pernah ketinggalan menyertai program tahunan itu dan sentiasa bersedia membantu mengikut kemampuannya.

“Walaupun banyak kerja yang perlu dilakukan, saya rasa puas hati. Saya berharap sesiapa yang menerima juadah Deepavali ini akan berasa gembira dan mendapat keberkatan,” katanya kepada FMT Lifestyle.

Deepavali yang dikenali sebagai Pesta Cahaya, melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan. Bagi Kunavathi, semangat perayaan itu turut diterjemahkan melalui sikap pemurah, keprihatinan dan kesediaan untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik.

Menjadi sukarelawan bersama Malaysia Hindhudharma Mamandram antara cara menghayati semangat Deepavali dengan berkongsi kegembiraan dan kasih sayang bersama mereka yang menyambut perayaan jauh daripada keluarga. (Gambar MHDM)

Kunavathi adalah ahli Malaysia Hindhudharma Mamandram (MHDM), pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nilai agama Hindu, memelihara tradisi budaya dan menjaga kebajikan masyarakat.

Sejak 20 tahun lalu, pertubuhan itu menganjurkan program tahunan sempena Deepavali yang diasaskan bekas pengerusinya, mendiang Dharma Pooshanam V Nanda Kumar.

Program itu bertujuan membolehkan banduan menyambut Deepavali mengikut adat dan tuntutan agama masing-masing, walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga.

Tahun ini, ahli MHDM menyediakan 4,000 pek juadah tradisional seperti muruku dan athirasam untuk diagihkan kepada banduan di Penjara Pulau Pinang serta Penjara Jawi.

Banduan turut menerima minyak bijan, santhanam (serbuk cendana), shikakai (pencuci rambut tradisional), kumkum (serbuk merah untuk upacara keagamaan) dan vibuthi (abu suci) bagi kegunaan mandi mengikut adat serta upacara sembahyang sempena Deepavali.

Kunavathi yang menjual barangan keagamaan di Kuil Sri Sitti Vinayagar di Kepala Batas, berkata beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk membantu membawa perubahan dalam kehidupan orang lain.

Selepas tahu mengenai MHDM beberapa tahun lalu, beliau terdorong untuk menyertai pertubuhan itu sebagai sukarelawan.

Walaupun masalah penglihatan menyukarkannya melakukan sesetengah tugas, Kunavathi bersyukur kerana sukarelawan lain sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Tahun ini, kira-kira 4,000 pek kuih tradisional termasuk muruku dan athirasam disediakan untuk banduan di Penjara Pulau Pinang dan Penjara Jawi. (Gambar MHDM)

Pengerusi MHDM Pulau Pinang Thanabalan Nanda Kumar, menyifatkan Kunavathi kuat pegangan agama, berdisiplin dan sangat komited dalam membantu masyarakat.

Menurutnya, meskipun Kunavathi satu-satunya ahli MHDM yang tidak dapat melihat, beliau sentiasa bersedia menyumbang tenaga dalam pelbagai aktiviti.

Selain kerap menyertai program gotong-royong dan kutipan dana kebajikan, Kunavathi turut mengendalikan kelas agama Hindu secara percuma untuk pelajar berusia enam hingga 17 tahun.

“Sikapnya yang tenang dan sentiasa positif membuatkan beliau amat dihormati di sini,” kata Thanabalan.

Kunavathi juga pernah memenangi pertandingan Thirumurai peringkat Pulau Pinang, yang mengiktiraf kebolehannya melafaz puji-pujian keagamaan Hindu dalam bahasa Tamil.

Beliau turut menerima Pingat Jasa Masyarakat atas sumbangannya kepada masyarakat.

Kunavathi bersama sukarelawan lain menyediakan juadah perayaan sebagai sebahagian daripada usaha sejak sekian lama untuk menjadikan Deepavali lebih bermakna buat orang lain. (Gambar MHDM)

Sempena Deepavali kali ini, Kunavathi tidak sabar meluangkan masa bersama insan tersayang, termasuk beberapa ahli keluarga yang akan datang dari Johor untuk meraikan perayaan itu bersamanya.

Dalam masa sama, beliau berharap dapat terus melakukan kerja kebajikan dan menyebarkan kegembiraan kepada orang lain untuk tahun-tahun mendatang.

“Saya gembira apabila dapat melakukan kerja kebajikan dan memang suka membantu orang lain.

“Kita semua bukan sahaja perlu meraikan perayaan, tetapi juga berusaha membantu orang lain sepanjang musim perayaan. Saya harap semua orang dapat menyambut Deepavali dengan gembira,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.