Anggota kerajaan perpaduan tak perlu sepakat semua perkara, kata pemimpin PKR

Kerajaan perpaduan tidak dibina atas premis semua parti mesti bersetuju dalam setiap perkara, kata pemimpin PKR susulan pengumuman Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meletak jawatan sebagai menteri pengangkutan.
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata, kematangan sebuah kerajaan gabungan bukan diukur berdasarkan ketiadaan perbezaan, sebaliknya kemampuan mengurus perbezaan itu tanpa meruntuhkan kestabilan negara.
“(Anggota kerajaan perpaduan) datang daripada sejarah, tradisi dan pendirian politik yang berbeza. Akan ada perkara yang kita sepakati dan akan ada perkara yang kita berbeza pandangan.
“Bagi saya, keutamaan sekarang adalah memastikan kerajaan terus berfungsi, reformasi diteruskan, ekonomi diperkukuh dan masalah rakyat diselesaikan.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan fokus terhadap amanah yang jauh lebih besar itu,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Loke mengumumkan beliau akan menjadi satu-satunya pemimpin DAP yang akan berundur, walaupun terdapat pihak tertentu yang inginkan parti itu secara keseluruhan meninggalkan Jemaah Menteri.
Loke menegaskan, keputusan DAP bahawa hanya beliau yang akan letak jawatan merupakan tindakan yang ‘bertanggungjawab’.
Mengulas perkara itu, Kamil berkata, beliau menghormati keputusan Loke dan mengambil maklum bahawa setiausaha agung DAP itu menegaskan komitmen partinya terhadap kerajaan perpaduan serta akan memastikan ahli parti itu yang masih berada dalam Jemaah Menteri terus menjalankan tanggungjawab.
Ambil pendekatan ofensif
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil pendekatan lebih ofensif susulan keputusan pengampunan bersyarat Najib.

Hassan berkata, keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International sebagai tahanan rumah menjadi ‘bola tanggung’ bagi PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau menjelaskan, keputusan itu juga berpotensi membuka semula perdebatan mengenai 1MDB dan rekod pemerintahan Najib yang menjadi antara isu utama pada PRU 2018.
“Sekarang pengampunan bersyarat Najib telah mengubah landskap politik Malaysia. PH sekarang mendapat bola tanggung daripada pengampunan Najib,” katanya.
Beliau menambah, PRN Melaka akan datang boleh menjadi medan awal untuk melihat kesan perkembangan itu, manakala medan lebih besar ialah PRU16 yang perlu diadakan sebelum Februari 2028.
Menurutnya, perkembangan terbaru itu turut menimbulkan persoalan kepada Umno dan PAS mengenai naratif ‘bersih dan amanah’ yang dilaungkan mereka jika bekerjasama pada pilihan raya akan datang.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.