50 daerah di Bangkok dilanda banjir, jejas 52,000 isi rumah

Banjir yang melanda semua 50 daerah di Bangkok menjejaskan kira-kira 52,000 isi rumah dan memaksa sekitar 4,200 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata jumlah hujan terkumpul di ibu negara itu melebihi 300ml sejak 4 petang Khamis (24 Sept), menghasilkan kira-kira 223 juta meter padu air.
Beliau berkata, beberapa terusan utama mencapai kapasiti maksimum, dengan sebahagiannya melimpah dan menjejaskan komuniti serta laluan pengangkutan di kawasan sekitar.
“Ketika ini, kira-kira 13 jalan utama terjejas dan sekitar 4,200 penduduk berpindah ke pusat perlindungan,” katanya dalam mesyuarat dalam talian pada Sabtu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang menyertainya dari London.
Chadchart berkata, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengoperasikan peralatan saliran dan pam pada kapasiti penuh.
BMA turut menyelaras dengan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), unit tentera serta agensi lain untuk mengerahkan kenderaan sesuai meredah banjir, bot dan petugas ke kawasan dilanda banjir dalam atau sukar diakses.
Jelasnya, BMA menyediakan 233 pusat perlindungan sementara dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 15,000 orang, manakala hampir 40 pesakit terlantar dipindahkan ke hospital.
Sekolah digunakan sebagai pusat perlindungan sementara utama, manakala 69 pusat kesihatan awam dan 13 hospital di bawah BMA dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan perubatan, khususnya pesakit terlantar dan kumpulan rentan lain.
Sekolah perbandaran di bawah BMA yang sedang mengadakan peperiksaan akan ditutup Isnin ini bagi mengurangkan kesukaran perjalanan ibu bapa, pelajar dan guru ketika usaha menangani banjir diteruskan.
Sementara itu, Lapangan Terbang Suvarnabhumi memaklumkan banjir di kawasan sekitar tidak menjejaskan operasi atau perkhidmatannya, dengan penerbangan ketibaan dan pelepasan terus beroperasi seperti biasa.
“Bagi penumpang yang dalam perjalanan ke dan dari lapangan terbang, laluan akses utama masih dibuka dan boleh dilalui. Penumpang dinasihat memperuntukkan masa perjalanan tambahan ketika menuju ke lapangan terbang,” menurut Jabatan Hal Ehwal Khas dan Perhubungan Komuniti lapangan terbang itu.
Penumpang antarabangsa dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan dijadualkan, manakala penumpang domestik sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi memastikan masa mencukupi untuk urusan daftar masuk dan pemeriksaan keselamatan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.