Menteri seru tenaga pengajar universiti renung cabaran AI

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menyeru tenaga pengajar universiti supaya merenung cabaran dihadapi mereka dalam masyarakat yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) sebagai rujukan pengetahuan.
Dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Akademik Negara ke-17, Zambry memberitahu hadirin bahawa pelajar hari ini tidak lagi menganggap profesor sebagai sumber utama ilmu mereka.
“Mari kita sama-sama merenung tentang cabaran yang ada di hadapan kita ini…tentunya kita mahu melahirkan para pelajar yang mempunyai kemampuan berfikir dan kemampuan berkomunikasi yang baik, dan dalam masa yang sama menjadi manusia yang baik,” katanya.
Terdahulu, Zambry berkata negara memerlukan sarjana yang mempunyai keberanian intelek, kejujuran akademik, dan kepekaan terhadap persoalan besar yang dihadapi negara.
Beliau menyeru akademia dan cendekiawan untuk kembali menilai tanggungjawab mereka kepada masyarakat dalam dunia dipacu AI.
“Kalau dulu, kita mungkin dikongkong oleh fahaman-fahaman tertentu, oleh apa yang disebutkan ‘the question of power’, bagaimana persoalan kuasa itu membungkus dari segi pergerakan, tetapi hari ini bukan soal kuasa yang membungkus, tetapi AI itu membungkus kita,” katanya.
Diperkenalkan pada 2006, Anugerah Akademik Negara diberikan kepada sarjana yang sedang atau pernah berkhidmat di institusi pengajian tinggi, berdasarkan sumbangan dalam bidang pengajaran, penemuan ilmui, penulisan dan penerbitan ilmiah dan kreatif, serta pemindahan dan pengembangan ilmu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.