Remaja 14 tahun pandu kereta langgar 2 kenderaan

Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun memandu sebuah kereta sehingga melanggar dua kenderaan lain dalam kejadian di dua lokasi berasingan di Taman Chai Leng, Perai.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT) Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku pada 4.50 petang semalam dan laporan diterima pada 8.47 malam hari sama.
“Siasatan awal mendapati remaja itu yang memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 terlebih dahulu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.
“Dia kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan betul.”
Nik Aminuddin berkata, kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, Nik Aminuddin berkata, ibu bapa dan penjaga diminta supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial hari ini, memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sehingga melanggar kenderaan lain sebelum dihentikan orang ramai di lokasi kejadian.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.